GEORGE TOWN: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyalahkan beliau atas kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media bagi tahun ini.

Fahmi mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kerana mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan indeks berkenaan dengan membandingkan Malaysia dan Israel.

"Israel bunuh orang Gaza. Awak (Wan Saiful) nak bandingkan Malaysia dengan Israel kenapa? Wan Saiful Wan Jan kata kita lebih teruk daripada Israel.

"Kita tak bunuh sesiapa pun. Setakat ini, tiada wartawan yang ditangkap atau dihumban ke penjara, malah tiada satu akhbar pun yang ditutup," katanya selepas mengadakan lawatan di reruai Kementerian Komunikasi bersempena dengan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini hari ini.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) semalam menunjukkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media jatuh 34 anak tangga berbanding 73 pada tahun lepas, dengan memperoleh skor 52.07 mata.

Wan Saiful dilapor berkata kedudukan Malaysia di tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media lebih teruk berbanding Israel yang berada di tangga ke-101, selain menyalahkan Fahmi atas kemerosotan kedudukan itu.

Sehubungan dengan itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menggesa Wan Saiful supaya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana Malaysia pernah mengalami zaman demokrasi yang gelap semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

"Kalau nak berpropaganda saudara Wan Saiful, saya harap saudara fikir apa berlaku masa zaman PN (sebagai kerajaan). Parlimen ditutup dan ini bukan propaganda, ini ialah fakta. Bukan surat khabar yang tutup tetapi Parlimen itu sendiri ditutup.

"Maka, sebelum Wan Saiful nak cakap lebih-lebih, beliau (Wan Saiful) seharusnya insaf bahawa zaman demokrasi paling gelap di Malaysia ialah semasa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu pemimpin parti beliau," katanya.

-- BERNAMA